10 November, 2010

Doa Mohon Kesembuhan Sakit Yang Kronik

Assalamu'alaikum wm wbr.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah mengurniakan nikmat sihat dan nikmat masa lapang kepada saya lantas membolehkan saya berkongsi sedikit pengetahuan melalui entri di sini.

Sejak akhir-akhir ini keluarga biras saya (isteri abang ipar) mengalami musibah yang bertimpa-timpa. Baru-bari ini adik perempuannya meninggal dunia akibat barah usus, pada masa yang sama adik lelakinya masuk hospital sebab bengkak leher dan setelah di"scan" disahkan mengidap barah darah. 

Kita juga sering terdengar berita kawan-kawan, sahabat handai, jiran sekampung mengalami pelbagai jenis barah dan kadang-kadang pada tahap ke-4.

Jadi apakah upaya kita untuk membantu mereka yang sedang ditimpa musibah tersebut? Selain daripada perubatan moden (hospital - kaedah allopathy), kita boleh juga berikhtiar dengan perubatan alternatif seperti menggunakan herba-herba yang tertentu, atau dengan kaedah perubatan Islam seperti yang diamalkan oleh Darussyifa'.

Di samping itu pesakit bolehlah beramal dengan ayat-ayat al-Quran sebab al-Quran ialah "Syifa' bagi manusia." (Al-Israa':82)




Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. 


Alhamdulillah, saya berpeluang menghadiri satu majlis yang dipimpin oleh Syeikh Paiz, adik kepada Dato' Murtadza Bin Ahmad, mantan Mufti Negeri Sembilan. Dalam majlis tersebut Syeikh memberitahu supaya pesakit-pesakit yang mengidap sakit yang kronik seperti barah dan sebagainya, maka hendaklah ia melazimkan membaca surah al-Waqiah, mudah-mudahan ia sembuh dengan izin Allah SWT.

Mari kita lihat hadis-hadis mengenai fadhilat surah al-Waqi'ah:

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Sesiapa membaca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. (Hadis riwayat Baihaqi dari Ibnu Mas'ud r.a.)

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Ajarkanlah surah Al-Waqi’ah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)
Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barang siapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”
Jelas hadis-hadis Nabi mengenai fadhilat surah al-Waqi'ah ini menyentuh tentang mengelak kemiskinan.  Jika diteliti dengan lebih lanjut lagi, rupa-rupanya miskin dalam definisi apabila dihuraikan melalui Bahasa Arab ialah miskin kesihatan, miskin wang ringgit, miskin jiwa, miskin ilmu dan sebagainya. Definisi miskin ini begitu subjektif bagi bahasa mereka. Ianya bermaksud kekurangan atau perkara yang tiada pada mereka.


Jadi orang yang sedang sakit juga dikatakan miskin, iaitu miskin sihat - tidak sihat. Maka dengan itu ikutilah saranan para Allamah, lazimkanlah membaca surah al-Waqi'ah dan berdoa dengan tulus ikhlas agar Allah SWT menyembuhkan penderitaan yang kita alami dari penyakit yang kronik tersebut.


Di bawah ini dinyatakan kaedah amalan surah al-Waqi'ah yang saya petik daripada Internet.
Menurut As’Syeikh Abi’l Abbas katanya
  • Bila hendak mengamalkan surah Al-Waqi’ah ini, terlebih dahulu berpuasa selama 7 hari, di mulai pada hari Jumaat berakhir pada hari Khamis. Puasanya “tidak memakan sesuatu yang bernyawa / tidak makan ikan, daging, segala haiwan, hanya makan sayur-sayuran sahaja.
  • Dalam 7 hari itu, sesudah solat fardhu, membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 25 kali. Apabila bacaan tersebut di mulai setelah solat fardhu Subuh pada hari Jumaat pertama, maka diakhirilah pembacaan Al-Waqi’ah itu pada setelah fardhu Isya’ pada Jumaat berikutnya.
  • Pada malam Jumaat terakhir ini hendaklah membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 125 kali kemudian selawat 1000 kali.
Di samping itu disarankan agar pesakit membaca doa mohon kesembuhan daripada penyakit selepas membaca surah al-Waqi'ah tersebut (dipetik dari laman web Darussyifa').



Alhamdulillah, semoga kita mengambil manfaat daripadanya.

29 August, 2010

Doa Supaya Orang Zalim Bergaduh Sesama Sendiri

Assalamu'alaikum wm wbr.

Seperti yang pernah saya perkatakan dalam entri yang terdahulu bahwa pada masa sekarang terlalu ramai orang yang hasad dengki dan orang yang zalim di sekeliling kita. Sehingga guru menasihatkan agar kita merahsiakan segala nikmat atau segala musibah yang menimpa diri kepada orang lain sebab dikhuatiri berita tersebut akan mengundang iri hati (jika kita mendapat nikmat), atau menyebabkan ditambahkan lagi kemudharatan kepada kita, atau sekurang-kurangnya berasa puas dan gembira di atas kesusahan yang menimpa kita. 

Pada zaman mutakhir ini, ramai pula yang berkroni atau bersuku sakat yang mana para kroni mempunyai perangai yang sama antara satu sama lain, dan saling ampu mengampu supaya terus kekal diterima sebagai kroni yang setia. Jika salah seorang daripada ahli mereka memusuhi seseorang maka keseluruhan ahli kroni turut memusuhi orang tersebut. 

Di bawah ini terdapat satu doa untuk memohon agar Allah SWT mengkucar-kacirkan pakatan mereka (agar para kroni bergaduh sesama sendiri), dan akhirnya kita terselamat daripada kezaliman mereka, insyaAllah.


Doa ini boleh dibaca secara wasal (terus) atau secara waqaf pada اللهم kemudian sambung  أشغل الظالمين بالظالمين


Untuk bacaan secara wasal tentang permulaan doa tersebut
"اللهم أشغل الظالمين بالظالمين"  dengarkan video youtube di atas, iaitu bacaan diawal video. Klip video ini saya dapatkan setelah google di Internet - bukan saya yang baca tau. Di sini ada sedikit variasi doa di atas - ini tidak menjadi masalah. Kita boleh berdoa apa saja kepada Allah SWT asalkan doa itu membawa kebaikan, bukan doa untuk maksiat dsb.

Sukacita saya nyatakan di sini, memadai kita membaca doa versi pendek ini sahaja.


Kaedah Amalan:

Baca doa di atas 7x selepas solat Subuh dan 7x selepas solat Maghrib.

Nota:

Doa di atas boleh digabungkan dengan doa-doa dalam entri yang terdahulu mengikut kesesuaian. Sebagai contoh, kita boleh gabungkan doa di atas dengan doa supaya terlepas dari kezaliman orang kafir (surah Yunus 85-86).

رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim".

وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
"Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir"


Oleh kerana ada pembaca yang keliru maka ingin saya jelaskan bahawa ayat 85 dalam surah Yunus yang saya maksudkan adalah merujuk kepada pertengahan ayat bukan pada awal/pangkal ayat.

Ia adalah ayat yang saya tandakan dengan warna merah bagi QS Yunus:85 

فَقَالُوا عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ 
(Lalu mereka berkata: "Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim)

06 August, 2010

Doa Mengelak Rancangan Jahat Musuh

Assalamualaikum wm wbr.

Hidup di dunia ini penuh dengan pancaroba. Ke mana sahaja kita pergi, di mana sahaja kita bekerja, atau di mana sahaja kita berkampung halaman, kita akan bertemu dengan berbagai ragam manusia. Ada yang ikhlas ingin berkawan dan berteman dengan kita, ada yang berkawan sebab ingin mendapat sesuatu daripada kita, tetapi tidak kurang juga yang menaruh hasad dengki dan dendam kesumat kepada kita. Yang lebih teruk lagi ialah orang-orang hiprokrit, atau bermuka-muka.  Di hadapan kita tidak ada sekelumitpun riak kebencian yang dipamirkan. Tutur kata semuanya manis-manis belaka, tetapi di belakang kita dia menaruh rancangan yang jahat untuk menjatuhkan kita dsb.  Orang yang sebegini sebenarnya telah hilang pertimbangan dan sedang mengikut nafsu atau ajakan syaitan.

Alhamdulillah, untuk menjauhi rancangan jahat musuh, maka kita telah dibekalkan dengan suatu doa yang ampuh yang telah diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran iaitu seperti pada ayat 54 surah Ali Imran:


Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya. 

Kaedah Amalan:


1. Untuk keadaan biasa (aman)

Baca 33x waktu pagi dan 33x waktu petang.  Maksud pagi ialah waktu selepas solat Subuh sehingga masuk zohor.  Maksud petang ialah selepas Asar sehingga tengah malam.

2.  Jika keadaan kritikal (Kita tahu ada orang dengki dan sedang merancang sesuatu)

Baca 313x waktu pagi dan 313x waktu petang.

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dan menggagalkan rancangan jahat musuh, Amin.

Wallahuaklam.

23 July, 2010

Doa Ketika Berhadapan Dengan Orang Zalim Atau Binatang Buas

Assalamu'alaikum wm. wbr.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT yang menggerakkan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan segala apa yang ada di antaranya.  Pujian yang banyak lagi melengkapi nikmat-nikmat-Nya dan yang menarik tambahan kurnia-Nya.

Ya Allah, curahkanlah selawat dan salam dan barakah ke atas penaung kami, yakni kekasihMu Muhammad dan ke atas keluarganya, pada setiap pandangan dan nafas, sebanyak bilangan apa yang diliputi oleh ilmuMu.

Para pembaca blog yang budiman. Pada kesempatan ini sukacita saya berkongsi suatu doa yang saya kira sangat pantas untuk diamalkan memandangkan berleluasanya orang-orang yang zalim, penuh hasad dan dengki yang tidak senang melihat orang lain menerima nikmat kurniaan Allah SWT.  Dewasa ini orang yang zalim dan dengki ini terdapat di mana-mana. Jika di pejabat, ia mungkin rakan sejawat kita, orang bawahan kita, hatta mungkin ketua (bos) kita sendiri yang tergugat di atas kewibawaan atau potensi kita untuk pergi lebih jauh daripada mereka. Jika bos menaruh perasaan dengki, dendam kesumat  dsb. kepada kita, maka ini merupakan suatu mala petaka bagi kita. Al-maklum bos mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, termasuk hal-hal kenaikan gaji, pengesahan jawatan, sokongan melanjutkan pelajaran dan sebagainya.  Dia akan sedaya upaya membuatkan hidup kita tidak keruan.  

Di sini saya ingin memberi nasihat kepada bos yang sedemikian, agar segera insaf dan bertaubat kepada Allah SWT dan meminta maaf kepada orang yang telah dianiaya olehnya.  Takutilah doa orang yang teraniaya. Sesungguhnya tidak ada hijab antara doa orang yang teraniaya dengan Allah SWT. Apa yang ditakuti ialah, orang yang teraniaya hilang kesabarannya dan mendoakan kehancuran kepada orang yang zalim.

Oleh itu, sekiranya ada di antara pembaca yang menhadapi kemungkinan dizalimi, dianiaya, dsb, maka disarankan agar mengamalkan doa di bawah ini agar kita terhindar daripada kezaliman mereka. Doa ini dikenali sebagai AYAT SATU yang merupakan sebahagian daripada ayat ke-15 surah Asy-Syura.



Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Allah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amalan-amalan kami dan bagi kamu amalan-amalan kamu.  Tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu. Allah menghidupkan kita dan kepada-Nyalah kita kembali.  Asy-Syura: 15

Nota: Ayat ini bukanlah dari permulaan ayat 15 Asy-Syura, tetapi ditengah-tengah (warna merah) seperti di bawah.


فَلِذَٰلِكَ فَادْعُ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَقُلْ آمَنْتُ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنْ كِتَابٍ وَأُمِرْتُ لِأَعْدِلَ بَيْنَكُمُ اللَّهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ لَا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ اللَّهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ


Kaedah Amalan:

1.  Bacalah ayat di atas 7x selepas tiap-tiap solat fardu serta dibayangkan hadir musuh kita itu dan makrifatkan ada dinding antara kita dengan musuh.  Jika tidak berkesempatan, bacalah tiap-tiap lepas solat Subuh dan Maghrib.

2. Jika sedang berhadapan dengan musuh, atau orang-orang yang zalim, atau orang-orang yang ditakuti, atau binatang-binatang buas, maka bacalah ayat ini 1x sahaja, InsyaAllah akan terlepas dari aniaya dan kejahatan mereka -- dengan syarat telah melakukan amalan no.1 di atas dengan istiqamah. InsyaAllah

Sekian, wasalam.

26 June, 2010

Doa Habib Abdul Qadir as-Saqqaf

Assalamu'alaikum wm wbr.

Semasa melayari Internet, terjumpa doa seorang ahli bait iaitu Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdurrahman as-Saqqaf iaitu seorang ahli sufi / Waliyullah yang terkenal di Arab Saudi yang telah pulang ke Rahmatullah pada 20 April 2010 yang lalu. Pepatah Melayu ada mengatakan iaitu Patah Tumbuh Hilang Berganti. Tetapi pemergian Tuan Habib Abdul Qadir as-Saqqaf menghadap Ilahi tiada pengganti. Allahu Akbar.

Di sini saya copy paste salah satu doa beliau yang meminta agar dapat melihat wajah Rasulullah s.a.w. yang mulia serta supaya mendapat syafaat daripada baginda.  Sumber doa ini ialah dari blog Sdr.Ahmad Othman Bin Hj. Ahmad Siuti  http://bishrulhafi.blogspot.com/

Sama-samalah kita manfaatkannya.

Pesanan Ustaz Haron Din - Jalan Yang Lurus

25 May, 2010

Doa Ketika Berada Di Makam Rasulullah dan Setelah Memberi Salam Kepada Baginda, Abu Bakar dan Umar

Assalamu'alaikum wm wbr.


Alhamdulillah, jika kita berkesempatan diberi peluang menjadi tetamu Allah dan tetamu Rasulullah, maka disarankan agar kita berdoa kepada Allah swt setelah kita bersalaman dengan Rasulullah s.a.w., dan juga kepada sahabat beginda iaitu Abu Bakar as-Siddiq ra. dan Umar Ibn Khattab ra. iaitu ketika kita menziarahi makam mereka di Masjid Nabawi, di Madinatul Munawwarah .

Caranya:

Setelah melaksanakan solat  tahiyatul masjid, kita melangkah dengan penuh tertib dan takzim menuju makam Rasulullah s.a.w. dan memberi salam kepada baginda. Tundukkan kepala dan bersalam bersungguh-sungguh dan khusyuk – assalmualaika ya Rasulullah. Assalamu’alaika ayyuhannabiyu warahmatullahi wabarakaatuh - dengan nada yang perlahan, yang hanya didengar oleh telinga kita sahaja sebagai tanda hormat kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian bergerak selangkah ke kanan bersalam kepada Abu Bakar, kemudian bergerak selangkah ke kanan bersalam kepada Umar ibn Khattab.  Setelah kita selesai bersalam dengan Umar ibn Khattab, kita kembali ke makam Rasulullah s.a.w. (Duduklah di belakang tiang, antara laluan umum dengan makam baginda, bagi mengelakkan agar tidak dimarahi atau dihalau oleh Polis yang bertugas.) Di situlah kita membaca:


Ya Allah, telah datang perkhabaran kepadaku daripada kalamMu:


(An-Nisa':64)


"Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." 


Justeru itu Ya Allah, aku datang kepada RasulMu dan aku mohon ampun kepadaMu di atas segala dosa, maksiat, dan kesalahan yang telah aku lakukan serta bertaubat tidak akan mengulangi lagi kesalahan tersebut. Semoga Engkau mengampunkan daku Ya Allah, Wahai Tuhan Yang Maha Pengampun.


i)   Istighfar 70x

ii)   Innallaha wamalaaikatahu yusallu na 'alan nabi 10x
iii)  Sollallahu wasallamu 'alaika Ya Rasulullah 70x
iv)  Berdoa kepada Allah swt seperti berikut:

“Ya Allah Ya Tuhanku, berilah keberkatan kepadaku Ya Allah. Engkau telah sampaikan aku Ya Allah di hadapan NabiMu, di hadapan orang yang Engkau cintai Ya Allah. Mudahkan aku untuk menjunjung dan melaksanakan semua perintahMu Ya Allah dan menjauhi semua laranganMu Ya Allah."

"Ya Allah Ya Tuhanku, berkatilah usahaku Ya Allah, berkatilah semua rezeki yang Engkau berikan kepadaku Ya Allah. Ya Allah, berkatilah semua anak-anakku Ya Allah, berikanlah keampunanMu kepadaku Ya Allah."

"Ya Allah Ya Tuhanku, janganlah Engkau matikan aku sebelum Engkau mengampunkan semua dosaku Ya Allah."

"Ya Allah, jadikanlah aku seorang yang benar-benar ikhlas di dalam segala amalanku Ya Allah. Ya Allah, Engkau kumpulkan daku di dalam golongan yang sedikit di kalangan yang sedikit Ya Allah."

"Ya Allah, Engkau permudahkanlah ibadah umarahku dan Ibadah hajiku Ya Allah. Engkau jadikanlah ia haji yang mabrur, umrah yang maqbul, dan saie yang penuh dengan kesyukuran, Ya Allah."

Rabbana, aatina, fid dunya hasanah. Wa fil aakhirati hasanah, waqina 'azaban nar. Wa sallallahu 'ala saiyidina Muhammadin wa 'ala alihi wa sohbihi ajmaien.


Nota: Adab-adab berdoa perlu dijaga seperti mengucapkan puji-pujian kepada Allah dsb

06 May, 2010

Doa Untuk Elak Dari Terkena Santau

Assalamu'alaikum wm. wbr.

Sudah lama saya tidak update blog ini. Hari ini saya ingin menulis mengenai suatu kejadian yang berlaku ke atas sahabat saya.



Tu dia. Cawan plastik meletup dan pecah dua apabila sahabat saya baru pegang nak minum. 

Pecah kaca pecah gelas
Lepas baca jangan amal malas

Sahabat saya seorang perawat Islam melaporkan:

"Waktu ini saya di rumah pak sedara saya dan baru sahaja melawat org sakit (pergi lawat jer tengok tengok). Sewaktu cawan ini pecah ia berada betul betul di tapak tangan saya dan terus meletup...perlu ingat yg cawan ini ialah cawan plastik bukan kaca. Selesai sahaja cawan ini pecah terus saya suruh mak sedara saya buangkan semua air dalam teko dan terus membersihkan semua peralatan minuman...


santau??? WALLAHUALAM "

Setelah ditanya apakah amalan yang diamalkannya dia menjawab:

"InsyaALLAH...sebenarnya amalan membaca....tapi bukan amalan itu menentukannya malah ALLAH jua melindungi kita ....WALLAHUAKLAM


Bismillah Hillazi la yadurru.......TIGA KALI sebelum minum atau makan."

Alhamdulillah, berkat amalan dengan izin Allah,  sahabat saya terpelihara dari segala yang memudaratkan dalam minuman tersebut...

Kita semua bolehlah memanfaatkan kisah ini untuk kehidupan seharian kita. Di Darussyifa' ayat tersebut dikenali dengan nama ayat penggerak.


Bacalah ayat ini 3x sebelum keluar rumah, ketika masuk ke pejabat, ketika masuk ke dalam kereta, ketika hendak makan, ketika hendak minum, ketika hendak pegang tangkal, dsb. InsyaAllah akan terhindar dari mara bahaya. Doa ini juga dikenali sebagai doa Khalid al-Walid sebab Rasulullah s.a.w. menyuruh beliau membaca doa ini apabila beliau mengadu masalahnya kepada baginda.

Doa sering kita dengar dan jumpa dalam kitab-kitab dsb. Namun baca pantun ni:

Pecah kaca pecah gelas

Lepas baca jangan amal malas

Selamat beramal. Amin

06 March, 2010

Doa Pelbagai Guna -- Hindar Kejahatan Jin, Manusia, Pembesar, Buasir, Sakit Gigi dsb.

Alhamdulillah, entri kali ini ialah berkenaan doa pelbagai kegunaan untuk elak kejahatan jin, manusia, pembesar, buasir, sakit gigi, gila, kusta, kecurian, dan segala kejahatan ciptaan Allah s.w.t, dan sebagainya.  Penulis telah mengamalkan doa ini hampir setiap hari dan alhamdulillah, walaupun gigi berlobang tetapi tidak sakit. Syukur kepada Allah s.w.t.  Hayati maknanya apabila membaca doa ini.

Kaifiat amalan:

Baca sekurang-kurangnya 1x setiap hari. Sebaik-baiknya baca 1x selepas solat subuh dan 1x selepas solat maghrib. InsyaAllah.


Makna doa di atas:

Aku meminta perlindungan untuk diriku dan anak-anakku kesemuanya, dan ahli keluargaku semuanya, dan harta-hartaku semuanya, dan saudara-saudaraku semuanya dan juga harta-harta mereka, secara berkekalan dan berpanjangan selama-lamanya, dengan wajah Allah Yang Maha Agong, yang tiada sesuatu pun yang terlebih agong daripada-Nya, Yang Mempunyai Ketinggian dan Keperkasaan, daripada kejahatan jin dan manusia, syaitan-syaitan, dan sultan-sultan (pembesar atau ketua tempat kerja masing-masing), orang-orang Arab Badwi (kat Malaysia ni -- orang asli kot), dan kejahatan yang tujuh, kejahatan serangga perosak (spt anai-anai dll), dan kecurian, dan daripada kejahatan semua makhluq Allah Taala. Dan daripada penyakit gila, kusta, sopak, mati separuh badan, buasir, kencing tidak tus, pekak, buta, bisu, dan daripada akhlak yang buruk, dan daripada tertanggal gigi, dan daripada sakit gigi geraham, dan daripada gigi berlobang dan longgar atau tercabut ia. Dan daripada semua bala dan fitnah, yang zahir dan yang batin.  Dan aku berpegang teguh dengan Tuhan yang memiliki kerajaan. Dan aku bertawakkal kepada Dia yang tidak akan mati (3X -- ayat yang terakhir ini saja baca 3x).

16 February, 2010

Doa Minta Hujan

Assalamu'alaikum wm wbr.

Cuaca pada masa sekarang ini terlalu panas dan kering sebab sekarang ini ialah pertengahan Monsun Timur Laut (akhir Disember - Februari). Hujan dijangka akan turun  lebih kerap pada musim peralihan monsun iaitu pada bulan April/Mei. Namun, bagi sesiapa yang tidak tahan cuaca panas ini, atau pokok-pokok tanamannya terancam mati kekeringan, maka bolehlah diusahakan untuk solat minta hujan (solat Istisqa') atau pun berdoa sahaja minta Allah swt turunkan hujan.

Di sini saya perturunkan kaedah doa untuk minta hujan yang diajarkan oleh guru saya iaitu mantan Mufti Negeri Sembilan, Dato' Syeikh Murtadza bin Hj. Ahmad.

Doanya ialah:

 1. Baca Fatihah 1x dihadiahkan kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w.

2. Ingat di dalam hati dengan memohon kepada Allah supaya selamatdan dimakbulkan segala maksud.

3-8. Baca rangkaian zikir berikut:


        Zikir no. 3: Dibaca 70x
        Zikir no. 4: Dibaca 100x
        Zikir no. 5: Dibaca 70x









Zikir no 6: dibaca 100x
Zikir no 7 dibaca 111x
Doa no 8: Dibaca 50x atau 70x











9: Doa Minta Hujan: Dibaca 25x atau 50x atau 100x




Cubalah amalkan, insyaAllah.

Makna Doa Untuk Keselamatan dan Kesentosaan Daripada Segala Wabak dan Penyakit

Makna bagi entri sebelum ini iaitu "Doa Untuk Keselamatan dan Kesentosaan Daripada Segala Wabak dan Penyakit".

Aku berlindung kepada Allah Tuhan Yang Maha Gagah Perkasa dan Yang Mempunyai Kekuasaan Mutlak. Aku berpegang teguh kepada Allah Tuhan yang memiliki kerajaan yang maha agong. Dan aku berserah diri kepada Allah Tuhan Yang Hidup, tidak akan mati.

Ya Allah wahai Tuhan kami, jauhilah kami dari wabak yang datang ini dan peliharalah kami dari segala kejahatan yang merosakkan, serta selamatkanlah kami dari segala fitnah dan penyakit taun serta segala bala yang datang dengan kelembutanMu Ya Allah, Tuhan Yang  Maha Halus dan Yang Maha Lemah Lembut, wahai Tuhan Yang Maha Halus Pengetahuan-Nya.  Engkau berkuasa ke atas segala sesuatu. Selawat dan salam kepada junjungan, Nabi Muhammad s.a.w. keluarga dan  para sahabatnya. Segala puji bagi Allah Tuhan Pencipta alam semesta.

Silalah tuan-tuan amalkan membaca doa ini 3x setiap lepas subuh dan maghrib. InsyaAllah, moga-moga kita akan terhindar daripada sebarang wabak yang melanda. Aamiin.

11 February, 2010

Doa Untuk Keselamatan dan Kesentosaan Daripada Segala Wabak dan Penyakit

Assalamu'alaikum wm wbr.

Alhamdulillah, hari ini Allah beri saya sedikit kelapangan untuk menyelitkan suatu doa yang sangat berguna ketika dilanda wabak penyakit seperti H1N1, denggi dsb.

Kaedah amalan:  Baca 3x selepas solat Subuh dan baca 3x selepas solat Maghrib - setiap hari selama wabak melanda. InsyaAllah. Setakat ini dulu. Maknanya akan menyusul.

Wasalam.







04 February, 2010

Doa Supaya Terlepas Daripada Fitnah dan Kezaliman Orang

Assalamu'alaikum wm wbr.

Doa dalam entri pengenalan blog ini (saya repeat kat sini supaya mudah dirujuk)  adalah doa yang diucapkan oleh pengikut Nabi Musa a.s. di tepi Laut Merah yang sedang dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya. Bayangkan keadaan mereka ketika itu. Di hadapan mereka adalah laut yang dalam dan luas, sedangkan dibelakang mereka adalah tentera Firaun yang terkenal dengan keganasan dan kezalimanan mereka.  Sudah tentu mereka panik dan ketakutan, lalu Nabi Musa memerintahkan agar kaumnya bertawakkal dan berdoa kepada Allah s.w.t. Musa berkata:





84. Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)".

Kemudian kaum Nabi Musa berdoa:







85: Lalu mereka berkata: "...Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim".

86:  "Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir".

Fitnah bermaksud seksaan, ancaman, strategi jahat, dan sebagainya. Oleh yang demikian kaum muslimin disarankan agar sentiasa membaca doa tersebut (Yunus 85-86) memohon kepada Allah swt untuk menangkis segala rencana jahat musuh kita.  Doa ini juga boleh digunakan untuk menangkis kejahatan bos yang zalim atau pun kejahatan ahli sihir, orang-orang yang dengki, dsb.

Doa ini mengajar kita supaya pasrah kepada Allah swt dalam menghadapai ancaman kezaliman, dan kekejaman musuh. Apabila kita berdoa dengan doa tersebut, maka kita bertawakkal kepada Allah swt kerana kita tidak punya apa-apa. Hanya Allah swt sahaja yang dapat menyelamat dan melindungi kita terutama pada saat-saat genting seperti situasi yang dialami oleh kaum Nabi Musa tersebut.

Kaedah amalan: Baca 7x selepas solat fardhu setiap hari. 

03 February, 2010

PENGENALAN

اﻟﺴﻼم ﻋﻟﯿﮑﻢ


اَﻟﺪُّﻋﺎءُ ﺳِﻶحُ اﻟْﻤﺆْﻣِن


Doa itu senjata mukmin. Oleh yang demikian, sebagai umat Islam, kita disarankan agar selalu berdoa kepada Allah s.w.t. untuk mengharungi hidup yang penuh cabaran ini. Dengan berdoa, kita declare kepada Allah s.w.t. bahawa kita ini adalah hamba-Nya yang lemah. Kita declare bahawa kita ini tidak ada apa-apa. Kita declare bahawa kita ini kosong. ﻵ حَوۡلَ وَلاَقُوَّةَ اِلاَّبِاﷲ. Kita declare bahawa tanpa belas kasihan Allah kepada kita, maka kita terkapai-kapai dan mudah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh kita terutama musuh dari gulungan jin dan syaitan. Jesteru itu seharusnyalah kita jadikan doa sebagai rakan atau sahabat setia kita sepanjang hayat.


Sejak akhir-akhir ini umat Islam sedang diasak dari segenap sudut. Yang mutkahir ialah isu penggunaan kalimah ﷲ oleh orang Kristian. Untuk mengelakkan fitnah-fitnah (musibah) sebegini berlaku secara berterusan, maka Allah s.w.t telah mengajar kita suatu doa yang mustajab untuk diamalkan iaitu Yunus 85-86. Doa ini dibaca 7 kali selepas setiap solat fardu agar kita terlepas daripada kaum yang zalim (termasuk bos di pejabat yang kuat menindas) dan juga agar terlepas daripada bencana seteru agama. InsyaAllah mustajab sebab Allah swt sendiri yang ajar.


85: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim.
86: Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir.